Monday, July 12, 2010
MINI JURNAL ( MANTIQ MENURUT PERSPEKTIF ISLAM ) Perbahasan Oleh Prof. Emeritus Mohammad Quyyum dan Y.A.B Tan Sri Prof. Dr. Arel al-Hakim al-Malizi
PENGENALAN MANTIQ
Sepertimana yang kita semua ketahui, di dunia ini wujudnya pelbagai ilmu yang mana manusia bebas belajar dan mendalami ilmu tersebut tidak kiralah teori dan praktikalnya tetapi apa yang penting boleh membuatkan seseorang itu berilmu dan berpengetahuan. Antaranya ialah ilmu Matematik, ilmu Fizik dan Kimia, ilmu Wahyu dan ilmu Mantiq serta sebagainya. Pendek kata, semua subjek yang boleh didalami dan boleh menambahkan pengetahuan seseorang dianggap ilmu. Tetapi, di sini akan diketengahkan mengenai ilmu Mantiq yang sangat diperlukan semua manusia untuk membezakan di antara yang baik dan buruk.
Apabila diteliti tentang konsep keistimewaan dan kelebihan manusia berbanding makhluk lain ialah akal pemikiran. Berpandukan akal, manusia dapat mencari ilmu serta memandu mereka kearah yang baik dan menilai mana yang benar dan salah. Kesesatan manusia juga disebabkan mereka tidak menggunakan akal untuk tujuan yang baik. Lantaran itu, akal yang bersifat positif jika digunakan untuk kebaikan akan menjadikan seseorang itu mulia dan sekiranya pula diarahkan untuk tujuan negatif menyebabkan mereka binasa dan hina.
Akal ialah sesuatu sifat yang boleh membezakan di antara manusia dengan haiwan dan makhluk lain. Melalui akal, manusia mampu menerima segala ilmu yang berbentuk teori serta mampu untuk menyusun idea-idea. Akal dalam bentuk ini merupakan asas utama kepada fikiran manusia. Hakikat akal menurut pengertian ini dapat dijelaskan melalui sabda nabi yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi. Maksudnya : Tidak ada satu ciptaan Allah yang lebih mulia di sisiNya selain akal.
Mantiq merupakan satu ilmu logik yang perlu menggunakan akal bagi membuat satu natijah atau keputusan dalam sesuatu permasalahan. Selain itu, ilmu tersebut juga dijadikan dalil untuk berhujah yang dikenali sebagai dalil Aqli iaitu yang melibatkan psikologi dan persekitaran seseorang individu itu dalam berfikir secara rasional dan profesional. Maka, jelaslah di sini bahawa Mantiq adalah satu ilmu yang bermanfaat yang boleh membezakan antara yang baik dan yang buruk. Demikianlah mengenai Mantiq.
PENGERTIAN ILMU MANTIQ
Pengertian ilmu Mantiq secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu :
1 ) Pengertian Bahasa
2 ) Pengertian Istilah
Pengertian Bahasa
Mengikut pengertian bahasa, Mantiq bermaksud :
a. Perkataan Mantiq berasal daripada bahasa Yunani, iaitu ‘Logos’ yang bermaksud : kata atau fikiran yang benar.
b. Mengikut bahasa Arab ia berasal daripada perkataan ‘Natoqa’ yang bermaksud : berkata atau bercakap.
c. Manakala mengikut pengertian kamus bahasa Melayu dikenali dengan nama logik iaitu berfikir benar.
Pengertian Istilah
Mengikut istilah pula, Mantiq Klasik telah diberi dengan berbagai pengertian dan maksud oleh mereka yang pakar dalam ilmu Mantiq, antaranya ialah :
a. Ibn Sina mendefinisikan ilmu Mantiq ialah suatu ilmu yang mengawal pemikiran manusia daripada tersalah dan terpesong sewaktu berfikir. Dalam erti kata lain, beliau juga menakrifkan Mantiq sebagai suatu ilmu untuk mencari dalil dan bukti serta menjadi peraturan-peraturan kepada manusia ketika berfikir.
b. Imam al-Ghazali menakrifkan ilmu Mantiq sebagai suatu ilmu yang dapat membezakan di antara suatu ilmu yang membawa kea rah kebenaran dan keyakinan dengan ilmu yang membawa pemikiran kea rah kesamaran dan salah. Oleh itu, Mantiq menurut pendapat Imam al-Ghazali ialah ilmu yang membicarakan tentang peraturan-peraturan umum sewaktu berfikir dan sekaligus mengarahkan serta memandu akal pemikiran manusia kepada jalan yang benar dan mencapai matlamat yang betul. Dalam erti kata lain, Imam al-Ghazali mengatakan ilmu Mantiq adalah sebagai neraca segala ilmu atau Mizan al-‘llm.
c. Aristotle pula berpendapat, ilmu Mantiq merupakan suatu ilmu yang menjadi alat serta asas kepadailmu-ilmu lain.
d. Menurut Epicurus yang merupakan salah seorang daripada ahli Falsafah Jerman mengatakan ilmu Mantiq ialah sebuah kanun dan undang-undang berfikir.
e. Ibn Khaldun berpendapat Mantiq adalah satu peraturan dan undang-undang yang boleh menjelaskan antara pemikiran yang benar dengan pemikiran yang salah. Antara lain, Mantiq berfungsi untuk menjelaskan hakikat sesuatu.
f. Mantiq ialah suatu ilmu yang membahaskan tentang kaedah-kaedah umum supaya dapat menghasilkan pemikiran yang bernas.
g. Mantiq ialah ilmu yang membicarakan tentang keadaan dan kedudukan penyusunan lafaz-lafaz yang terbentuk dalam akal dan pemikiran manusia.
h. Mantiq ialah ilmu yang membahaskan pemikiran manusia secara umum, sama ada ia pemikiran yang benar atau salah.
i. Mantiq merupakan suatu pengibaratan yang membicarakan tentang kaedah-kaedah yang dapat memandu manusia ketika berfikir dan mereka melahirkan pemikiran bersesuaian dengan ucapan serta dapat menapis maklumat-maklumat yang diterima sama ada sah atau tidak sah.
j. Pengertian ilmu Mantiq sebagaimana yang diterima oleh majoriti ahli Mantiq ialah suatu ilmu yang menyelidik dan meneliti tentang peraturan dalam menyusun tanggapan akal serta gambaran pemikiran supaya melahirkannya dalam bentuk ucapan dan pelaksanaan yang benar dan tepat mengikut kehendak sebenar.
ASAL USUL ILMU MANTIQ
Nama Mantiq atau Logika pertama kali muncul pada Filsuf Cicero ( abad ke-1 sebelum Masihi ) tetapi dalam erti “ seni berdebat ”. Alexander Aphrodisias ( sekitar permulaan abad ke-3 sesudah Masihi ) adalah orang pertama yang menggunakan kata ‘Logika’ dalam definisi ilmu yang menyelidiki benar tidaknya pemikiran manusia.
Yunani adalah negeri asal ilmu Mantiq atau Logika kerana banyak penduduknya yang mendapat kurniaan otak cerdas. Negeri Yunani, terutama Athens diakui menjadi sumber berbagai ilmu. Socrates, Plato, Aristotles dan banyak yang lainnya adalah tokoh-tokoh ilmuan kelas pertama dunia pada masa itu yang tidak ada ilmuan global tidak mengenalnya sampai sekarang dan akan datang. Tetapi, khusus untuk Logika atau ilmu Mantiq Aristotleslah yang menjadi guru utamanya.
Akan tetapi, meskipun Aristotles terkenal sebagai “Bapak Logika”, itu tidak bererti bahawa sebelum dia tidak ada Logika. Segala para ilmuan dan ahli falsafah sebelum Aristotles menggunakan Logika sebaik-baiknya. Dalam kata lain, disebutkan bahawa Aristotleslah orang yang pertama kali meletakkan ilmu Logika, yang sebelumnya memang tidak pernah ada ilmu Mantiq tersebut. Maka tak hairanlah jika ia digelarkan sebagai “Muallim Awwal” ( Guru pertama ).
Selain itu, ada berbagai-bagai pendapat tentang siapa orang pertama yang meletakkan nama Logika atau Mantiq. Akan tetapi jika diselidik lebih mendalam, maka sebelum Aristotles memang ada Logika, akan tetapi ilmu Logika sebagai ilmu yang sistematik baru muncul sejak Aristotles, dan memang dialah orang pertama yang membentangkan cara berfikir yang teratur dalam suatu sistem.
Kecerdasan penduduk Yunani itulah mungkin yang telah menyebabkan lahirnya golongan Sufastiyyun. Golongan ini dengan kemahiran berdebat yang mereka miliki menghujah dan malah merosakkan sistem sosial, agama dan moral dengan cara menafikan pernyataan-pernyataan yang benar, tetapi membuat penyelewengan-penyelewengan pemikiran nilai dan moral.
PERKEMBANGAN ILMU MANTIQ DALAM MASYRAKAT ISLAM
Secara tidak langsung pertapakan dan perkembangan ilmu Mantiq dalam masyarakat Islam telah pun lahir seiring dengan perutusan Nabi Muhammad s.a.w lagi. Di mana melalui Hadis baginda terdapat penuturan yang sememangnya menggunakan logik dan kebenaran berita yang diperkatakan semuanya benar tanpa sebarang pertikaian lagi. Seterusnya titik permulaan yang menyebabkan pertapakan dan pertumbuhan ilmu Mantiq dalam masyarakat Islam adalah ekoran perselisihan umat Islam dalam persoalan Imamah khasnya saat akhir pemerintahan khalifah al-Rasyidin dan awal pemerintahan khalifah Bani Umaiyyah. Perselisihan tersebut telah merebak kepada persoalan akidah yang akhirnya terbentuk puak Khawarij, Syiah dan Ahli al-Sunnah.
Antara lain, pada abad kedua hijrah telah muncul ulamak mujtahid dari kalangan al-Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in yang menggunakan kaedah al-Qiyas dalam ilmu Usul al-Fiqh, khasnya untuk istinbat. Selain dari itu, Imam al-Syafi’e juga telah menggunakan kaedah al-Istiqra’ untuk memastikan tempoh haidh yang paling singkat dan yang paling lama terhadap wanita.
Secara langsungnya, ilmu Mantiq mempengaruhi dan bertapak dalam masyarakat Islam adalah ekoran pertapakan dan perkembangan ilmu al-Kalam. Tokoh terkenal yang membincangkan tentang ilmu tersebut seterusnya mendukung aliran Ahli al-Sunnah Wa al-Jamaah ialah Abu Hassan al-‘Asy’ary dan Abu Mansur al-Maturidi. Mereka bangkit mempertahankan aliran Ahli al-Sunnah Wa al- Jamaah dengan menggabungkan dalil akal berserta al-Quran dan Hadis untuk berhujah dan mengukuhkan akidah. Contohnya, kewujudan alam dan cakerawala yang begitu besar dan teratur membuktikankewujudan Allah sebagai Pencipta Mutlak.
Selain itu, ulama’ Islam juga telah mempelajari ilmu Mantiq dan menggunakan hujah serta logik akal untuk berdebat dengan ahli al-Kitab dan Parsi yang menggunakan Falsafah dan Mantiq untuk berdebat dengan orang Islam. Di samping itu, ulama’ Islam mempelajari Mantiq untuk berhujah dengan golongan Atheis dan al-Dahriyyun yang tidak mengakui kewujudan Allah dan menolak pendapat mereka yang mengatakan alam ini terjadi dengan sendiri.
TOKOH-TOKOH ILMUAN MANTIQ KLASIK DAN MODEN
Mantiq terbahagi kepada dua, iaitu :
1 ) Mantiq Klasik
2 ) Mantiq Moden
Setiap daripada kedua-duanya mempunyai tokoh-tokoh Ilmuan Mantiq yang tersendiri, berikut adalah klasifikasinya :
Tokoh Ilmuan Mantiq Klasik
1 ) Socrates
2 ) Arisrotle
3 ) Ibn. Sina
4 ) Imam al-Ghazali
Tokoh Ilmuan Mantiq Moden
1 ) Francis Bacon
2 ) John Stewart Mill
3 ) Ibn. Haytham
4 ) Ibn. Hayyan
PERBEZAAN MANTIQ KLASIK DAN MODEN
Antara perbezaan di antara Mantiq Moden dengan Mantiq Klasik yang dapat dirumuskan di sini ialah :
1. Mantiq Klasik hanya mengkaji bentuk-bentuk pemikiran dan mencipta peraturan-peraturan yang berbentuk teori. Peraturan tersebut dilalui dan diikuti oleh setiap pengkaji dan pemikir untuk menghasilkan keputusan yang benar dan tepat tanpa mengambil kira atau mengkaji bahan yang menjadi hakikat atau kandungan pemikiran tersebut. Manakala Mantiq Moden pula mengkaji bahan-bahan yang menyebabkan lahirnya pemikiran itu dan sebab-musabab sesuatu perkara yang wujud dan lahir serta mengaitkannya dengan apa yang terdapat pada kenyataan.
2. Mantiq Klasik menumpukan serta memusatkan perhatiannya terhadap fizikal sesuatu benda tanpa menilai dan mengkaji atau meneliti kaitan di antara benda-benda yang dikaji tersebut. Manakala Mantiq Moden pula menumpukan kajiannya terhadap benda dan bagaimana berlakunya perkara tersebut, sebab-sebabnya dan hubungannya di antara satu sama lain.
3. Mantiq Klasik mementingkan dan mengutamakan teori semata-mata. Manakala Mantiq Moden lebih menumpukan kepada percubaan dan amali terhadap teori yang digariskan.
FAEDAH DAN MANFAAT ILMU MANTIQ
Di antara manfaat ilmu Mantiq ialah :
1 ) Membuat daya pemikiran seseorang lebih tajam tetapi lebih berkesan melalui latihan-latihan berfikir dan menganalisis serta mengungkap permasalahan secara ilmiah.
2 ) Membuat seseorang menjadi mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan mengerjakan sesuatu pada waktunya.
3 ) Membuat seseorang mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Ini merupakan manfaat yang paling asas dalam ilmu Mantiq.
4 ) Boleh menjadikan seseorang bijak berfikir dan mempunyai hujah tersendiri untuk berdebat serta membidas kata-kata yang tidak masuk akal dan tidak mudah diperbodoh-bodohkan atau diperkotak-katikkan oleh individu lain sekiranya pada dirinya mempunyai ilmu Mantiq.
HUKUM MEMPELAJARI ILMU MANTIQ DAN ULAMA’-ULAMA’ YANG MENERIMANYA
Terdapat beberapa perselisihan pendapat tentang hukum mempelajari ilmu ini.
1. Haram : Pendapat Imam Ibnu Solah dan Imam An-Nawawi, tetapi dijelaskan bahawasanya kedua-dua Imam ini mengharamkan untuk dipelajari ilmu ini sekiranya dicampur dengan masalah-masalah falsafah yang membawa kepada kekufuran dan keraguan dari sudut aqidah. Kedua-duanya juga berpendapat dengan mempelajari ilmu ini boleh diambil faedah daripadanya untuk menguatkan perkara-perkara yang berkaitan dengan aqidah dan menolak segala syubhat yang dilontarkan oleh musuh-musuh Islam.
2. Fardu Kifayah : ke atas umat Islam seluruhnya dan harus ada sekumpulan manusia yang mempelajarinya sehingga mampu untuk mempertahankan agama Islam menangkis segala bentuk syubhat dan tohmahan yang dilontarkan terhadap agama Islam. Dan atas dasar ini diletakkan hukum fardu kifayah kerana mengikut kaedah (ما لا يتم الواجب الا به فهو واجب ).
Ulama’ yang menerima ilmu Mantiq ialah :
1. Ibn. Rusyd - wajib hukumnya selagi tidak bercanggah dengan landasan Islam.
2. Imam al-Ghazali - hukumnya adalah harus.
3. Al-Farabi - tidak menjadi kesalahan mempelajarinya.
4. Ibn Sina - sama dengan pendapat al-Farabi.
5. Ibn. Hazm - menerima dengan positif dan beliau sendiri mempelajarinya.
6. Jumhur ulamak - hukum mempelajarinya adalah fardu kifayah.
Antara sebab berlaku perbezaan pendapat ialah kerana ia mengambil kira keadaan masa, zaman dan suasana semasa. Tetapi di sini, jelas menunjukkan ulama-ulama besar kita dahulu menganggap mempelajari ilmu mantik adalah haram dan jatuh kafir. Manakala ulama-ulama yang menerimanya, hanya Ibn Rusyd yang menganggap wajib sementara yang lain hanya sekadar harus atau dibolehkan.
Ini boleh menjelaskan mengapa kebanyakan daripada ajaran-ajaran, tafsiran dan hukum-hakam mereka tiada penekanan ke arah kepentingan ilmu pengetahuan berunsur sains walaupun tuntutan untuk mencari ilmu ini jelas terdapat di dalam al-Quran. Kita harus bersyukur, walaupun terdapat imam dan ulama-ulama besar Islam yang mengharamkan ilmu mantik, masih ada ahli-ahli sains dan cendekiawan Islam, yang sebahagian daripada mereka adalah ulama yang mementingkan ilmu pengetahuan duniawi, telah membawa kemakmuran kepada umat Islam dan melalui satu puncak tamadun di mana umat Islam menguasai segala bidang, dari semua segi, seperti ekonomi, ilmu pengetahuan dan ketenteraan sehinggalah tamadun Islam sebelah Timur runtuh pada kurun ke-13 Masihi dan sebelah Barat kurun ke-15 Masihi.
Inilah juga di antara sebab mengapa menjadi tanggungjawab umat Islam terutamanya mereka yang bergelar ulama dan cendekiawan untuk sentiasa mengkaji al-Quran dan sunah mengikut suasana semasa dan bukannya terikat dengan pendapat dan tafsiran ulama terdahulu. Ini telah dilakukan oleh jumhur ulama apabila menghukum mempelajari ilmu ini sebagai fardu kifayah demi kepentingan umat Islam, terutamanya mantik moden yang boleh membentuk kemajuan dan tamadun sesebuah negara. Oleh itu mantik moden merupakan ilmu sains yang perlu bagi orang Islam serta mempelajarinya dengan mendalam, supaya orang Islam akan maju dan setanding dengan orang kafir.
Tetapi ini berlaku setelah orang bukan Islam, terutamanya Barat, dengan sekularisme mereka, telah menguasai ilmu ini dan menjadi maju, seterusnya menjajah hampir keseluruhan umat Islam di dunia ini. Selepas itu barulah muncul ulama-ulama yang menganggap ilmu sains ini penting. Di sini berlaku pertembungan dengan ulama yang masih mempertahankan pendapat lama. Maka wujudlah golongan yang dianggap sekular dan golongan jumud. Persoalan yang cukup penting dan besar ialahmengapa ulama-ulama besar yang ilmu agama mereka dianggap cukup tinggi dan kefahaman yang mendalam dalam al-Quran dan hadis, boleh mengharamkan mempelajari suatu ilmu yang cukup penting, yang jelas dituntut seperti yang terkandung di dalam al-Quran? Pada waktu itu sudah pasti berlaku pertembungan antara ulama-ulama yang berpendapat mempelajari ilmu mantik adalah haram dengan cendekiawan-cendekiawan yang mempelajari ilmu mantik.
Tamadun Islam yang sampai kepada kemuncaknya dan memberikan sinar kepada seluruh umat manusia dan pada waktu di mana `umat Islam menjadi khalifah di bumi Allah ini', suatu masa dahulu, mungkin tidak dicapai jika sebahagian cendekiawan Islam waktu itu berpegang kepada hukum yang dikeluarkan oleh ulama-ulama besar yang mengharamkan mempelajari ilmu mantik ini. (Ini tidak bermaksud kita harus menolak ulama-ulama ini secara total). Mungkinkah ini adalah antara sebab utama mengapa kita dapat melihat secara umumnya di dalam pegangan kita, Ahli Sunnah Waljamaah yang diterajui oleh empat imam besar. Penekanan hanya diberikan kepada bab-bab tertentu seperti akidah dan tauhid, ibadah dan solat, akhlak dan adab, muamalah dan hukum serta aturan kehidupan.
Tetapi hukum-hukum di dalam mencari dan menguasai ilmu pengetahuan dan membina kekuatan untuk menggerunkan musuh, seperti yang dituntut di dalam al-Quran, tidak diberikan penekanan.
Untuk menguasai ilmu mantik ini memerlukan akal berfikir secara logik yang mana hukumnya dianggap haram dan jatuh kafir. Imam Shafie sendiri hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis sebagai sumber hukum dengan menolak al-Qias. Ini kerana al-Qias merupakan salah satu cabang ilmu mantik yang memerlukan akal berfikir secara logik.
(Imam Shafie juga termasuk dalam ulama salaf dan hadis, mencela golongan yang mencari dalil dan berdebat menggunakan ilmu kalam. Ini telah membawa kepada kerosakan yang besar terhadap umat Islam seperti yang akan diterangkan selepas ini.)
(Bukan sahaja mazhab kita tidak memberi penekanan kepada ilmu pengetahuan, kerana mengikut Imam Ghazali, ``ulama-ulama fiqih itu tiada mengurus mengenai batin dan tiada membuka persoalan hati dan jalan akhirat. Tetapi mereka membangun yang zahir daripada hukum-hukum agama daripada perbuatan-perbuatan anggota badan. Dan perbuatan-perbuatan zahir itu, adalah mencukupi untuk tidak dihukum bunuh dan diseksa oleh sultan''- `Ihya Ulumiddin' terjemahan oleh Prof.Tk. H. Ismail Yakub Sh; MA, Jilid 1, muka surat 550.)
RUMUSAN
Kesimpulannya, ilmu Mantiq merupakan satu ilmu yang menggunakan akal logik iaitu manusia menggunakannya untuk mencari petunjuk serta kebenaran seterusnya memilih mana yang baik untuk diikuti serta menjauhi dan meninggalkan perkara buruk. Walaupun manusia mempunyai akal dan sentiasa menggunakannya, sama ada dalam menjalani urusan kehidupan atau untuk mencari kebenaran, namun tidak semestinya hasil pemikiran mereka menepati tujuan sebenar serta mencapai matlamat yang dimaksudkan dan diinginkan.
Sebagai contoh, apabila manusia melihat awan tebal yang hitam di langit, manusia memikirkan dan menjangkakan hujan akan turun tidak lama lagi. Tetapi, tanggapan akal semata-mata serta melalui penelitian terhadap faktor awan hitam yang tebal tidak semestinya dapat menghasilkan keputusan yang benar dan tepat. Kerana kadang-kadang hujan tidak turun walaupun pada kebiasaannya awan tebal yang menandakan atau menyebabkan hujan turun.
Lantaran itu, Islam menyekat kebebasan manusia berfikir berpandukan nafsu dan akal yang tidak diikuti dengan akidah dan ilmu. Contohnya, fahaman golongan al-Sufustaiyyun yang menilai baik dan buruk sesuatu berdasarkan pancaindera dan akal semata-mata. Hal itu kerana pancaindera dan akal manusia adalah terbatas, apatah lagi untuk mengkaji perkara yang ghaib.
Keistimewaan manusia berbanding makhluk-makhluk lain di muka bumi ini ialah akal pemikiran. Dengan anugerah tersebut, manusialah makhluk yang paling mulia. Justeru itu Allah mengamanahkan manusia sebagai khalifahNya untuk memakmurkan muka bumi serta mempertanggungjawabkan supaya mematuhi segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.
PENUTUP
Di ahkir penulisan kami ini, ingin kami katakan bahawa semulia-mulia manusia yang ada di atas dunia ini adalah seorang yang bertaqwa di sisi tuhannya seperti firman Allah S.W.T dalam Al-Quran :
إن أكرمكم عند الله أتقاكم
Taqwa bermaksud melakukan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang dan ditegah. Dengan itu, maka ramailah manusia di dunia ini menjadi seorang yang baik sekiranya mengikut panduan yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T melalui perutusanNya iaitu Muhammad S.A.W yang membawa risalah Al-Quran yang mulia.
Kami berharap, dengan adanya kajian dan teks ini maka dapatlah kita bersama-sama memahami konsep Mantiq kerana betapa pentingnya ilmu ini dalam kehidupan manusia dan sekaligus menjalankan tugas kita sebagai dai’e ( pendakwah ) dan meneruskan lagi dakwah nabi kita.
Selain itu, dakwah amat penting terutamanya pada masa kini kerana banyak unsur-unsur fahaman yang bertentangan dengan agama kita serta gejala sosial semakin menjadi-jadi. Ini penting dalam memartabatkan negara kita setaraf dengan negara-negara islam yang lain serta menepati ucapan Perdana Menteri iaitu Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Nukilan dan kajian oleh Mohd Kamil Hakim dan Mohammad Quyyum (Jabatan Usuluddin)-DU,API.KUIM2010.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment